Pertama kali aku pergi ke Tanjung Simpang Mengayau, di daerah Kudat negeri Sabah ialah kira-kira 10 tahun yang lalu. Suasananya agak berbeza dengan hari ini dan jalan ke tempat ini lebih teruk dari sekarang. Terlalu banyak jalan yang masih perlu diperbaiki dan jika anda tidak memandu 4WD, maka balik rumah, pastikan periksa keadaan kenderaan anda terlebih dahulu. Pasti ada "alignment" yang lari dan tidak hairan juga jika ada kerosakkan kecil pada kereta. Namun, itu duluuuu... Sekarang jalannya sudah lebih walaupun masih terdapat kawasan-kawasan yang perlukan skill memandu pada tahap advanced. :D
Bandar Kudat Sabah
Jika anda datang dari Semenanjung dan ambil penerbangan ke Kudat, maka Tanjung Simpang Mengayau ini tidak lah jauh mana. Ya, jika dari Kudat, jarak memandu adalah kira-kira 30 minit sahaja dan itupun disebabkan jalanraya yang tidak membenarkan anda memecut. Akan tetapi, kebiasaannya pelancong datang dari Kota Kinabalu Sabah. Ada yang menaiki bas pelancong, ada yang menaiki taksi dan tidak kurang juga yang menyewa kereta atau ke sini. Semuanya bergantung pada bajet dan keselesaan anda. Apa-apa pun pemanduan ke kawasan yang indah ini mengambil masa kira-kira 3 jam setengah hingga 4 jam dari Kota Kinabalu dan melalui jalan raya yang penuh dengan panorama yang menarik. Anda pasti terhibur dan jangan tidur semasa dalam kereta.

Untuk ke Tanjung Simpang Mengayau, anda perlu memandu melalui jalan Tuaran (atau jalan alternatif jika biasa di Sabah) dan tiba di bulatan simpang Kota Belud-Ranau, anda akan teruskan perjalanan ke arah Kota Belud. Anda boleh berhenti ke Pekan Tuaran untuk menikmati Mee Tuaran, jika mahu atau teruskan sahaja perjalanan anda ke Kota Belud. Untuk ke Pekan Tuaran, anda perlu masuk ke simpang masuk pekan ini yang terletak tidak jauh dari simpang ke Pantai Dalit.

Teruskan memandu ke Kota Belud dan lihat suasana kampung di tepi-tepi jalan. Tak banyak pemandangan indah buat masa ini. Lebih kurang macam memandu di Semenanjung juga. Tiba di bulatan Kota Belud-Kudat, anda boleh pilih samada mahu masuki bandar Kota Belud atau tidak. Jalan ini akan bertemu semula nanti. Jika anda memandu pada hari minggu, anda boleh singgah menyaksikan Tamu Kota Belud yang "famous" itu. Boleh juga lihat Cowboy tempatan dengan kuda-kuda mereka. Menarik dan menghiburkan juga.



Perjalanan ke Kudat melalui Kota Belud dan kemudian Kota Merudu amat menarik dengan panorama indah. Cantik pemandangan sawah padi dengan latarbelakang Gunung Kinabalu. Anda harus berhenti ambil gambar buat kenang-kenangan. Ada juga jualan-jualan di tepi jalan seperti buah-buahan dan kraftangan. Aku suka beli jagung bakar yang lazat itu dan makan sambil meneruskan perjalanan ke Kudat.


Bila masuk ke daerah Kudat, anda banyak tempat yang anda boleh lawati jika cukup masa dan bermalam di Kudat. Jika balik hari, bagus teruskan perjalanan ke Simpang Mengayau dan mungkin cuba singgah dalam perjalanan balik nanti. Antara tempat-tempat menarik yang boleh disinggah nanti termasuklah: Rumah Panjang Runggus, Bee Farm dan Gong Gergasi.

Gombizau Honey Bee Farm

Simpang masuk ke Tanjung Simpang Mengayau ini tidak jauh dari pekan Matunggong. Oleh itu, bila tiba di Matunggong, anda perlahankan sedikit kereta bagi memastikan anda tidak terlepas simpang. Ada signboard masuk ke pantai ini dan perjalanan ke arah pantai agak jauh juga dan memakan masa lebih setengah jam. Ada papan tanda yang akan bantu anda sepanjang perjalanan ke pantai dan berhati-hati agar tidak terlepas papan tanda-papan tanda ini.

Sebagaimana yang diterangkan dalam banyak blog, Tanjung Simpang Mengayau adalah tempat pertemuan antara Laut Cina Selatan dan Laut Sulu. Ia juga kawasan paling utara di kepulauan Borneo. Atas sebab itu jika anda berkunjung ke Sabah, lawatan adalah tidak lengkap jika tidak ke sini. Masukkan juga ia dalam Bucket List anda kerana ia adalah suatu tempat yang amat cantik dan menarik untuk dikunjungi.





Udara di sini amat bersih dan segar dengan pemandangan indah di tepi pantai. Kemudahan di sini telah dipertingkatkan dengan adanya tempat mandi, solat dan resort-resort yang berkualiti. Dulu-dulu bila aku datang kat sini terpaksa bawa air dalam jerry cane dari Kota Kinabalu sebab tak ada toilet. Sekarang tak ada masaalah hendak bersihkan badan lepas mandi laut sebab kemudahan telah disediakan.




Apa-apa aku harap korang semua yang terbaca blog ini, dapat lawati Tanjung Simpang Mengayau satu hari nanti. Ia adalah salah sebuah tempat berehat keluarga yang paling aku sukai....